Saturday, November 6, 2010

muktamar baghdad - part 2

Raja Meminta Penjelasan

       Raja berkata kepada wazir: Adakah benar apa yang dikatakan oleh al-‘Alawi bahawa hadis ini ada di dalam kitab-kitab Ahl al-Sunnah?
       Wazir berkata: Ya, ia ada di dalam beberapa kitab Ahl al-Sunnah[1].
       Raja berkata: Ini adalah kafir secara langsung (al-Kufr bi-‘Aini-hi).

Mencaci Rasulullah S.A.W

       Kemudian Ahl al-Sunnah mengatakan di dalam cacian mereka bahawa Rasulullah s.a.w telah membawa ‘Aisyah di atas bahunya bagi membolehkannya melihat ahli musik, adakah ini layak dengan makam Rasulullah dan kedudukannya?
       Al-‘Abbasi berkata: Ia tidak memudaratkan [nya ][2].
       Al-‘Alawi berkata: Adakah anda akan melakukannya sedangkan anda seorang lelaki biasa, adakah anda membawa isteri anda di atas bahu anda untuk membolehkannya melihat ahli musik??
  
Raja Mencelah

       Raja berkata: Orang yang mempunyai sedikit malu dan cemburu tidak akan reda dengan perkara ini, bagaimana dengan Rasulullah yang menjadi contoh “malu dan cemburu” serta keimanan. Adakah benar perkara ini ada di dalam kitab-kitab Ahl al-Sunnah?
       Wazir berkata: Ya, ia ada di dalam sebahagaian kitab-kitab Ahl al-Sunnah!
       Raja berkata: Bagaimana kita beriman dengan seorang nabi yang mengesyaki pada kenabiannya sendiri?
       Al ‘Abbasi berkata: Riwayat ini mesti ditakwil?
       Al-‘Alawi berkata: Adakah riwayat ini layak ditakwil? Adakah anda mengetahui, wahai raja, bahawa Ahl al-Sunnah mempercayai khurafat-khurafat dan kebatilan-kebatilan?
       Al-‘Abbasi berkata: Khurafat-khurafat dan kebatilan-kebatilan yang mana anda maksudkan?

Khurafat-Khurafat Ahl Al-Sunnah
             
       Al-‘Alawi berkata: Aku telah menerangkan kepada anda bahawa kamu Ahl al-Sunnah berkata:
       
1.   Sesungguhnya Allah adalah seperti manusia bagi-Nya tangan, kaki,  pergerakan dan diam.
2.   Sesungguhnya al-Qur’an telah diselewengkan dan padanya pertambahan dan kekurangan[3].
3.   Sesungguhnya Rasul melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh manusia biasa seperti memikul ‘Aisyah di atas bahunya.
4.   Sesungguhnya Rasul telah mengesyaki kenabiannya sendiri.
5.   Sesungguhnya mereka yang telah datang sebelum Ali bin Abu Talib telah bersandar kepada pedang dan kekuatan untuk menegakkan diri mereka dan tanpa sandaran yang sah bagi mereka.
6.   Sesungguhnya kitab-kitab mereka meriwayatkan bahawa Abu Hurairah dan seumpamanya adalah terdiri di kalangan mereka yang memalsukan hadis-hadis, di kalangan dajal-dajal dan ahli kebatilan yang lain.
                             
Raja Meminta Pertukaran Tajuk

       Raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan tukar kepada tajuk yang lain.

Mengaitkan Perkara Yang Tidak Layak

       Al-‘Alawi berkata: Kemudian bahawa sesungguhnya Ahl al-Sunnah mengaitkan kepada Rasulullah s.a.w perkara yang tidak layak walaupun kepada manusia biasa!
       Al-‘Abbasi berkata: Seperti apa?
       Al-‘Alawi berkata: Seperti mereka berkata: Sesungguhnya Surah   ‘Abasa (80): 1-2 “Dia bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya” telah diturunkan tentang Rasul [4]!
       Al-‘Abbasi berkata: Apakah yang menghalangnya?
       Al-‘Alawi berkata: Yang menghalangnya adalah firman Allah di dalam Surah al-Qalam (68): 4 “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” dan firman-Nya di dalam Surah al-Anbiyaa’ (21): 107 “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainklan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” Adakah masuk akal bahawa Rasul yang disifatkan oleh Allah dengan akhlaknya yang agung dan menjadi rahmat kepada alam semesta melakukan perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan terhadap orang buta mukmin?                                                                                       

Raja Mencelah

       Raja berkata: Adalah tidak masuk akal bahawa perbuatan ini keluar daripada Rasul kemanusiaan dan nabi rahmat. Jikalaulah begitu, wahai al-‘Alawi, kepada siapakah ayat ini diturunkan?
       Al-‘Alawi berkata: Hadis-hadis sahih dari keluarga Rasulullah di mana al-Qur’an telah turun di rumah mereka berkata: Sesungguhnya ayat tersebut telah turun tentang Uthman bin ‘Affan. Ia berlaku apabila Ibn Ummi Maktum berjumpa dengan Rasulullah, lantas Uthman menentangnya dan memalingkan belakangnya kepadanya.
       Di sini Sayyid Jamal al-Din; seorang ulama Syi‘ah yang hadir di dalam muktamar berkata: Telah berlaku kepadaku tentang kisah ini bersama Surah ini bahwa salah seorang ulama Nasara berkata kepadaku: Sesungguhnya Nabi kami adalah lebih  baik daripada nabi kamu Muhammad (s.a.w). Aku berkata: Kenapa?
       Dia berkata: Sesungguhnya nabi kamu mempunyai akhlak yang jahat bermasam muka kepada golongan yang buta dan memalingkan belakangnya  kepada mereka. Sementara nabi kami Isa mempunyai akhlak yang baik menyembuhkan golongan yang buta dan berpenyakit sopak.
       Aku berkata: Wahai Masihi, ketahuilah sesungguhnya kami adalah Syi‘ah, kami berpendapat bahawa Surah telah turun tentang Uthman bin ‘Affan dan bukan tentang Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya nabi Kami Muhammad s.a.w mempunyai akhlak yang baik, sifat yang terpuji sebagaimana Allah berfirman di dalam Surah al-Qalam (68): 4 “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” dan firman-Nya di dalam Surah al-Anbiyaa’ (21): 107 “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”
       Orang Masihi itu berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar kata-kata ini daripada seorang khatib di Baghdad!
       Al-‘Alawi berkata: Apa yang masyhur di sisi kami bahwa sebahagian perawi yang jahat telah mengaitkan kisah ini kepada Rasulullah bagi melepaskan Uthman bin ‘Affan. Justeru itu, mereka telah mengaitkan pembohongan kepada Allah dan Rasul sehingga mereka membersihkan khalifah-khalifah mereka!

Raja Meminta Pertukaran Tajuk

       Raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan bercakaplah tentang tajuk yang lain.

Syi‘ah Mengingkari Iman Mereka Bertiga
      
       Al-‘Abbasi berkata: Sesungguhnya Syi‘ah mengingkari iman ketiga-tiga khalifah, pendapat ini tidak benar, kerana jikalaulah mereka tidak mukminin, kenapakah Rasulullah s.a.w telah menjalani hubungan perkahwinan dengan mereka (musaaharah)?
       Al-‘Alawi berkata: Syi‘ah percaya sesungguhnya mereka bertiga tidak mukminin dari segi hati dan batin mereka (qalban wa baatinan) sekalipun mereka menzahirkan Islam secara lidah dan kezahiran[5]. Rasul yang mulia telah menerima Islam setiap orang yang mengucap dua kalimah syahadat sekalipun dia seorang munafik yang sebenar, tetapi beliau s.a.w telah memberi layanan kepada mereka dengan layanan muslimin. Lantaran itu, hubungan perkahwinan Nabi dengan mereka (musaaharah al-Nabi la-hum) dan hubungan mereka dengan Nabi adalah dari bab ini!

                             





    

   




                            BAHAGIAN KETIGA


Dalil Tidak Berimannya Abu Bakr, Raja Mencelah, Dalil Tidak Berimannya Umar, Raja Meminta Penjelasan, Al-‘Abbasi Cuba Menghalang Raja Dari Menukar Mazhab, Saat-Saat Kesusahan Menimpa Al-‘Abbasi, Dalil Tidak berimannya Uthman Dan Lain-Lain.
      
Dalil Tidak Berimannya Abu Bakr

       Al-‘Abbasi berkata: Apakah dalil tidak berimannya Abu Bakr?
       Al-‘Alawi berkata: Dalil-dalil yang kuat tentangnya adalah banyak. Di antaranya: Dia telah mengkhianati Rasulullah pada tempat yang banyak. Di antaranya: Larinya dari tentera Usamah dan penderhakaannya terhadap perintah Rasul di dalam perkara tersebut. Al-Qur’an al-Karim telah menafikan keimanan daripada setiap orang yang menyalahi Rasul, Allah berfirman di dalam Surah al-Nisaa’ (4): 65 “Maka demi Tuhanmu, (mereka pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya
       Abu Bakr telah menderhakai perintah Rasulullah (s.a.w) dan menyalahinya, maka dia termasuk di dalam ayat yang menafikan keimanan orang yang menyalahi Rasul.
       Dan tambahan pula bahawa Rasul (s.a.w) telah melaknati orang yang lari atau meninggalkan tentera Usamah. Kami telah menyebut terdahulu bahawa sesungguhnya Abu Bakr telah melarikan diri daripada tentera Usamah: Adakah Rasulullah melaknati mukmin?
       Tentu sekali: Tidak.



Raja Mencelah

       Raja berkata: Jika begitu, maka benarlah kata-kata al-‘Alawi bahawa Abu Bakr bukan mukmin!
       Wazir berkata: Ahl al-Sunnah mempunyai takwil tentang larinya Abu Bakr daripada tentera Usamah.
       Raja berkata: Adakah takwil dapat menolak apa yang dilarang, jikalau kita membuka bab ini, nescaya setiap penjenayah akan menakwilkan bagi setiap jenayah yang dilakukannya?
       Pencuri berkata: Aku telah mencuri kerana aku seorang fakir. Peminum arak berkata: Aku telah meminum arak kerana aku banyak berdukacita dan penzina berkata …peraturan akan menjadi cacat, orang ramai berani melakukan maksiat, tidak, tidak… takwil tidak akan memanfaatkan kita.
       Muka al-‘Abbasi bertukar menjadi merah, dia menjadi bingung, dia tidak tahu apa yang dikatakannya. Akhirnya…dia berkata: Apakah dalil tidak berimannya Umar?

Dalil Tidak Berimannya Umar

       Al-‘Alawi berkata: Dalil-dalil adalah banyak, di antaranya: Dia sendiri telah menerangkan bahawa dia bukan seorang mukmin!
       Al-‘Abbasi berkata: Di tempat mana?
       Al-‘Alawi berkata: Umar berkata: Aku tidak mengesyaki kenabian Muhammad (s.a.w) seperti syak aku pada hari al-Hudaibiyyah [6](maa syakaktu fi nubuwwati Muhammad mithla syakki yauma al-Hudaibiyyah). Kata-katanya menunjukkan: Dia sentiasa mengesyaki kenabian Nabi kita Muhammad s.a.w, tetapi syaknya pada hari al-Hudaibiyyah adalah lebih banyak, lebih mendalam dan lebih besar daripada syak-syak sebelumnya, wahai al-‘Abbasi, katakanlah kepadaku dengan nama Tuhan anda: Adakah orang yang mengesyaki kenabian Muhammad (s.a.w) dikira mukmin?
       Al-‘Abbasi diam dan menggelengkan kepalanya kerana malu.

Raja Meminta Penjelasan

       Raja berkata kepada wazir: Adakah benar kata-kata al-‘Alawi bahawa Umar telah berkata sedemikian?
       Wazir berkata: Demikianlah telah diceritakan oleh beberapa perawi!
       Raja berkata: Sungguh hairan... hairan yang sangat, sesungguhnya aku menyangka Umar adalah golongan yang terdahulu memeluk Islam,  imannya sebagai iman contoh, tetapi jelas sekarang bahawa asas keimanannya adalah syak dan subahat!

Al-‘Abbasi Cuba Menghalang Raja Dari Menukar Mazhab
      
       Al-‘Abbasi berkata: Tunggu dahulu, wahai raja, kekalkan anda di atas akidah anda, janganlah anda ditipu oleh al-‘Alawi; pombohong ini.
       Raja telah menentang dengan mukanya kepada al-‘Abbasi seraya berkata di dalam keadaan marah: Sesungguhnya wazir Nizam al-Mulk berkata: Bahawa al-‘Alawi benar di dalam kata-katanya dan kata-kata Umar ada di dalam beberapa kitab dan ini si bodoh- Iaitu al-‘Abbasi- berkata: Bahawa al-‘Alawi adalah pembohong. Tidakkah ini satu kedegilan yang nyata?
       Suasana majlis tenang dan menakutkan. Raja telah marah dan tidak senang hati dengan kata-kata al-‘Abbasi… al-‘Abbasi dan para ulama Ahl al-Sunnah menunduk, wazir diam. Tetapi al-‘Alawi mengangkat kepalanya melihat ke arah muka raja untuk melihat keputusan?

Saat-Saat Kesusahan Menimpa Al-‘Abbasi
      
       Saat-saat kesusahan menimpa al-‘Abbasi, dia berangan-angan supaya bumi terbelah di bawahnya, lantaran itu dia hilang padanya atau malaikat maut datang untuk mengambil nyawanya dengan segera, kerana malu yang amat sangat dan suasana yang menyusahkan. Sesungguhnya terserlah kebatilan mazhabnya. Terserlah khurafat akidahnya di hadapan raja, wazirnya dan semua ulama dan ketua-ketua tentera…, tetapi apakah yang dia akan lakukannya? Sesungguhnya raja telah menjemputnya untuk soal-jawab bagi membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Lantaran itu, dia mengumpulkan segala kekuatannya dan mengangkat kepalanya seraya berkata: Bagaimana pendapat anda, wahai al-‘Alawi, tentang Uthman tidak beriman di hatinya sedangkan Rasul telah mengahwinkannya dengan dua orang anak perempuannya? Ruqiyyah dan Ummi Kalthum?[7]

Dalil Tidak Beriman-nya Uthman
      
       Al-‘Alawi berkata: Dalil-dalil tentang tidak berimannya Uthman adalah banyak dan mencukupi tentang perkara ini: Sesungguhnya muslimin-sahabat di kalangan mereka- telah berkumpul menentangnya, lalu mereka membunuhnya. Dan kamu berpendapat bahawa Nabi s.a.w bersabda: Umatku tidak berhimpun di atas kesalahan. Maka adakah muslimun- termasuk sahabat-berkumpul untuk membunuh seorang mukmin? ‘Aisyah telah menyamakannya dengan Yahudi, merancang untuk membunuhnya dan berkata: Bunuhlah Na‘lathan-nama seorang lelaki Yahudi, kerana dia telah kafir, bunuhlah Na‘lathan, nescaya Allah membunuhnya[8].
       Sesungguhnya Uthman telah memukul Abdullah bin Mas‘ud, seorang sahabat yang mulia sehingga ditimpa penyakit hernia (burut) terlantar di atas hamparan kemudian mati.
       Dia telah mengusir Abu Dhar al-Ghiffari, seorang sahabat yang mulia di mana Rasul bersabda: Langit dan bumi sukar mendapati orang yang lebih benar percakapannya daripada Abu Dhar”. Dia telah mengusirnya dan menjauhkannya dari Madinah ke Syam sekali atau dua kali kemudian ke Rabdhah- Iaitu tanah kering di antara Makkah dan Madinah sehingga Abu Dhar mati kelaparan dan dahaga di Rabdhah sedangkan Uthman membahagi-bahagikan harta muslimin kepada kaum kerabatnya daripada Bani Umayyah dan Bani Marwan![9]

Raja Meminta Penjelasan

       Raja berkata kepada wazir: Adakah kata-kata al-‘Alawi itu benar?
       Wazir berkata: Ahli sejarah telah menyebutnya.
       Raja berkata: Bagaimana kaum muslimin mengambilnya sebagai khalifah?
       Wazir berkata: Secara syura.
       Al-‘Alawi berkata: Nanti dahulu, wahai wazir, janganlah anda berkata apa yang anda tidak tahu!
       Raja berkata:  Apakah yang anda katakan, wahai al-‘Alawi?
      
Menjadi Khalifah Dengan Wasiat Umar

       Al ‘Alawi berkata: Sesungguhnya wazir telah tersilap di dalam kata-katanya, sesungguhnya Uthman tidak dapat jawatan khalifah melainkan dengan wasiat daripada Umar dan undian tiga orang munafikin sahaja. Mereka adalah Talhah, Sa‘d bin Abi Waqqas dan ‘Abd al-Rahman bin  ‘Auf. Adakah tiga munafikin ini mewakili semua kaum muslimin?
       Kemudian ahli Tawaarikh telah menyebut bahawa mereka yang telah melantik Uthman telah berpaling tadah daripada Uthman manakala mereka melihat kezalimannya, pencabulannya terhadap para sahabat Rasulullah, mesyuaratnya tentang urusan kaum muslimin dengan Ka‘ab al-Ahbar, seorang Yahudi dan pembahagian harta kaum muslimin   kepada Bani Marwan. Justeru itu, tidak hairanlah jika mereka bertiga telah menggalakkan orang ramai supaya membunuh Uthman!
      
Raja Meminta Penjelasan

       Raja berkata kepada wazir: Adakah benar kata-kata al-‘Alawi?
       Wazir berkata: Ya, demikianlah ahli sejarah telah menyebutnya!
       Raja berkata: Bagaimana anda berkata Uthman dapat menjadi khalifah dengan syura?
       Wazir berkata: Aku maksudkan dengan syura itu adalah mereka bertiga!
       Raja berkata: Adakah pemilihan tiga orang itu membenarkan syura?
       Wazir berkata: Sesungguhnya mereka bertiga itu telah dijanjikan oleh Rasulullah dengan syurga.

Hadis Sepuluh Orang Dijamin Syurga Adalah Palsu
      
       Al-‘Alawi berkata: Nanti dahulu, wahai wazir, janganlah anda berkata apa yang tidak benar, sesungguhnya hadis “sepuluh orang masuk syurga” adalah pembohongan  dan rekaan terhadap Rasulullah (s.a.w)!
       Al-‘Abbasi berkata: Bagaimana anda berkata bahawa ia satu pembohongan sedangkan ia diriwayatkan oleh perawi-perawi yang dipercayai?
       Al-‘Alawi berkata: Banyak dalil-dalil yang menunjukkan pembohongan hadis ini dan kebatilannya. Aku akan menyebut tiga dalil sahaja untuk anda:
       Pertama: Bagaimana Rasulullah menjamin seorang dengan syurga sedangkan dia telah menyakitinya, iaitu Talhah? Sesungguhnya sebahagian ahli tafsir dan ahli sejarah menyebut bahawa sesungguhnya Talhah berkata: Jika Muhammad mati, kami akan bernikah dengan isteri-isterinya selepasnya- atau aku akan mengahwini ‘Aisyah. Lantaran itu,  Rasulullah merasa terkilan dengan kata-kata Talhah, lalu Allah menurunkan Surah al-Ahzab (33): 53 “Dan tidak boleh menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengahwini isteri-isterinya sesudah dia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah).
       Kedua:  Sesungguhnya Talhah dan al-Zubair telah memerangi Imam Ali bin Abu Talib a.s dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda tentang hak Ali a.s: Wahai Ali, sesungguhnya peperangan anda adalah peperanganku dan perdamaian anda adalah perdamaianku[10]. Dan beliau s.a.w bersabda: Barangsiapa yang mentaati Ali, maka sesungguhnya dia mentaati aku dan barangsiapa yang menderhakai Ali, maka dia menderhakai aku[11]. Beliau s.a.w bersabda: Ali adalah bersama al-Qur’an dan al-Qur’an bersama Ali kedua-duanya tidak terpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan kepadaku”. Beliau s.a.w bersabda: Ali bersama kebenaran dan kebenaran bersama Ali yang mana kebenaran berpusing bersamanya di mana dia berpusing[12]. Adakah orang yang memerangi Rasulullah dan menderhakainya di syurga? Dan adakah orang yang memerangi kebenaran dan al-Qur’an itu seorang mukmin?
       Ketiga: Sesungguhnya Talhah dan al-Zubair kedua-duanya telah merancang untuk membunuh Uthman, justeru itu, adakah mungkin Uthman, Talhah dan al-Zubair semuanya di syurga. Sebahagian mereka memerangi sebahagian yang lain sedangkan Rasulullah  s.a.w bersabda: Pembunuh dan orang yang dibunuh kedua-duanya di neraka

Raja Meminta Penjelasan

       Raja bertanya kepada Wazir dengan penuh kehairanan: Adakah benar apa yang dikatakan oleh al-‘Alawi?
       Wazir berdiam diri tanpa berkata apa-apa. Begitu juga al-‘Abbasi dan kumpulannya berdiam diri tanpa bercakap apa-apa.

Apakah Syaitan Memaafkan Orang Yang Bercakap Benar?
      
       Apakah yang mereka kata? Adakah mereka berkata benar? Adakah syaitan memaafkan orang yang mengakui kebenaran? Adakah nafsu ammarah yang meredai kejahatan sanggup tunduk kepada kebenaran dan kenyataan? Adakah anda terfikir bahawa mengakui kebenaran itu perkara yang mudah dan senang?
       Tidak! Sesungguhnya ia adalah perkara yang sukar, kerana ia  terpaksa mencabut asabiah jahiliyah dan menyalahi hawa nafsu sedangkan manusia adalah pengikut hawa nafsu dan kebatilan melainkan mukminin yang mana bilangan mereka amat sedikit.

Al ‘Alawi Bersedia Untuk Membawa Kitab-kitab Rujukan
      
       Al-‘Alawi telah memecahkan tabir diam, maka dia berkata: Wahai raja, sesungguhnya wazir, al-‘Abbasi dan ulama mengetahui kebenaran kata-kataku dan kenaran percakapanku serta hakikat hadisku. Sekiranya mereka mengingkari kata-kataku, maka sesungguhnya di Baghdad para ulama yang menyaksikan kebenaran kata-kataku. Sesungguhnya di dalam khazanah Madrasah ini kitab-kitab yang menyaksikan kebenaran kata-kataku, rujukan yang muktabar yang menerangkan kebenaran kata-kataku…. Sekiranya mereka mengakui kata-kataku, maka ini adalah apa yang dikehendaki. Jika tidak, maka aku bersedia sekarang, sekarang membawa kepada anda kitab-kitab, rujukan-rujukan dan saksi-saksi!
                                  
Raja Meminta Penjelasan

       Raja berkata kepada wazir: Adakah kata-kata al-‘Alawi itu benar bahawa kitab-kitab rujukan menunjukkan kebenaran kata-katanya dan kebenaran percakapannya?
       Wazir berkata: Ya.
       Raja berkata: Kenapakah anda berdiam diri pada permulaannya?
      
Mencaci Sahabat

       Wazir berkata: Aku benci mencaci sahabat Rasulullah (s.a.w)!
       Al-‘Alawi berkata: Hairan! Anda benci perkara itu sedangkan Allah dan Rasul-Nya tidak membencinya, kerana Allah telah memperkenalkan sebahagian sahabat yang munafik dan memerintahkan Rasul-Nya supaya berjihad menentang mereka sebagaimana beliau s.a.w berjihad menentang golongan kafir dan Rasul sendiri telah melaknati sebahagian sahabatnya!
      
Kata-Kata Semua Sahabat Adil Satu Pembohongan

       Wazir berkata: Tidakkah anda mendengar kata-kata ulama: Sesungguhnya semua sahabat adalah adil?
      Al-‘Alawi berkata: Aku telah mendengar kata-kata itu, tetapi aku mengetahui bahawa kata-kata itu adalah pembohongan dan rekaan, kerana bagaimana semua sahabat adil sedangkan Allah melaknati sebahagian mereka, Rasul melaknati sebahagian mereka, sahabat pula saling melaknati sesama mereka, memerangi sesama mereka, mencaci sesama mereka dan membunuh sesama mereka?

Bagaimana Kaum Muslimin Mengambil Mereka Sebagai Khalifah Dan Mengikuti Mereka?
      
       Di sini al-‘Abbasi mendapati pintu tertutup di hadapannya, lantas dia datang dari pintu yang lain pula dan berkata: Wahai raja, katakanlah kepada al-‘Alawi bahawa jika ketiga-tiga khalifah itu tidak mukminin, bagaimana kaum muslimin mengambil mereka sebagai khalifah dan mengikuti mereka?
       Al-‘Alawi berkata: Pertama: Bukan semua kaum muslimin mengambil mereka sebagai khalifah, hanya Ahl al-Sunnah sahaja.
       Kedua: Sesungguhnya mereka yang percaya dengan khilafah mereka terbahagi kepada dua bahagian: Orang yang jahil dan orang yang degil (mu‘aanid). Adapun orang yang jahil, maka dia tidak mengetahui keburukan mereka dan hakikat mereka, mereka menggambarkan mereka sebagai manusia yang baik dan mukminin. Adapun orang yang degil, maka dalil dan bukti tidak memanfaatkannya selama dia berkeras di atas kedegilannya. Allah berfirman di dalam Surah al-A raaf (7): 146 “Jika mereka melihat setiap ayat-Ku mereka tidak beriman kepadanya  Surah al-Baqarah (2): 6 “Sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu memberi peringatan, mereka tidak juga akan beriman”!
       Ketiga: Sesungguhnya golongan yang telah memilih mereka sebagai khalifah telah tersilap di dalam pemilihan mereka sebagaimana golongan Nasara telah melakukan kesilapan, mereka berkata  Al-Masih itu putera Allah”. Golongan Yahudi berkata:  Uzair adalah putera Allah” Surah al-Taubah )9): 30. Manusia wajib mentaati Allah dan Rasul. Wajib mentaati kebenaran bukan mentaati manusia di atas kesalahan dan kebatilan. Allah berfirman: Taatilah Allah dan Rasul…Surah al-Nisaa’ (4):59.
                           
Raja Meminta Pertukaran Tajuk

       Raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan bertukarlah kepada tajuk yang lain.

Kesamaran Ahl Al-Sunnah

       Di antara kesamaran Ahl al-Sunnah dan kesalahan mereka bahawa mereka telah meninggalkan Ali bin Abu Talib (a.s.) dan mereka mengikut pendapat mereka yang terdahulu.
       Al-‘Abbasi berkata: Kenapa?
       Al-‘Alawi berkata: Kerana Ali bin Abu Talib telah dipilih oleh Rasul (s.a.w)[13] sementara mereka bertiga tidak dipilih oleh Rasul. Kemudian dia berkata:
       Wahai raja, sesungguhnya anda sekiranya anda memilih seseorang untuk menduduki tempat anda atau khilafah anda, adakah wajib bagi menteri-menteri dan anggota-anggota kerajaan mematuhi anda? Atau mereka berhak memecat khalifah anda dan memilih orang lain di tempat anda?
       Raja berkata: Malah, wajib bagi mereka mematuhi khalifahku yang aku memilihnya sendiri, mereka wajib mematuhinya dan mentaati perintahku padanya.

Syi‘ah Mengikuti Khalifah Rasulullah
      
       Al-‘Alawi berkata: Begitulah yang dilakukan oleh Syi‘ah, sesungguhnya mereka telah mengikuti khalifah Rasulullah yang telah dipilih olehnya dengan perintah Allah iaitu Ali bin Abu Talib dan mereka meninggalkan orang selain daripadanya.

Sebab Ali Tidak layak Menjadi Khalifah?
     
       Al-‘Abbasi berkata: Tetapi Ali bin Abu Talib tidak layak menjadi khalifah disebabkan umurnya masih muda [14]semantara Abu Bakr seorang yang tua[15]. Di samping itu Ali bin Abu Talib telah membunuh ketua-ketua Arab dan menghancurkan penglima-penglima mereka[16]. Justeru itu Arab tidak meredainya. Begitu juga Abu Bakr tidak meredainya!
              
Orang Ramai Lebih Alim Daripada Allah Dan Rasul?
      
       Al-‘Alawi berkata: Adakah anda mendengarnya, wahai raja bahawa al-‘Abbasi berkata: Sesungguhnya orang ramai adalah lebih alim daripada Allah dan Rasul-Nya di dalam menentukan yang paling baik (al-Aslah), al-‘Abbasi tidak mengambil iktibar firman Allah dan sabda Rasul-Nya di dalam pemilihan Ali bin Abu Talib, malah dia mengambil kata-kata orang ramai untuk kepentingan Abu Bakr. Ini bererti bahawa Allah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana tidak mengetahui apa yang paling layak dan paling baik sehingga datang golongan jahil, lalu mereka memilih orang yang paling layak? Tidakkah Allah berfirman di dalam Surah al-Ahzaab (33): 36 “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu ketetapan. Akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka susungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata”?
       Tidakkah Allah berfirman di dalam Surah al-Anfaal (8): 24 “Wahai golongan yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu”?
       Al-‘Abbasi berkata: Tidak sekali, sesungguhnya aku tidak berkata bahawa manusia adalah lebih mengetahui daripada Allah dan Rasul-Nya.
       Al-‘Alawi berkata: Jikalau begitu, kata-kata anda tidak mempunyai makna. Jikalau Allah dan Rasul telah memilih seorang tertentu menjadi khalifah, maka wajib anda mematuhinya sama ada orang ramai meredainya ataupun tidak!
       Al-‘Abbasi berkata: Tetapi kelayakan Ali bin Abu Talib adalah sedikit?
       Al-‘Alawi berkata: Pertama: Makna kata-kata anda bahawa sesungguhnya Allah tidak mengetahui Ali bin Abu Talib dengan sebenarnya, maka Dia tidak mengetahui kelayakkannya adalah sedikit, justeru itu Dia telah melantiknya menjadi khalifah. Ini adalah kekufuran yang nyata.
       Kedua: Sebenarnya kelayakan untuk menjadi khalifah adalah banyak pada Ali bin Abu Talib. Sementara orang lain tidak banyak kelayakan mereka!
       Al-‘Abbasi berkata: Apakah kelayakannya?


[1] Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaaghah, iii, hlm.124.
[2] Perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w itu, tidak merendahkan kedudukannya mengikut al-‘Abbasi.
[3] Al-Bukhari, Sahih, vi, hlm. 210 menyatakan bahwa (Surah al-Lail 92:3) telah ditambah perkataan “Maa khalaqa”, Lantaran itu, ayat asalnya “Wa al-Dhakari wa al- Unthaa” tanpa “Maa khalaqa”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Dardaa’, kemudian ia dicatat pula oleh Muslim, Sahih, I, hlm.565, al-Turmudhi, Sahih, v, v, hlm. 191. Al-Suyuti, al-Itqaan, ii, hlm. 82 meriwayatkan bahawa ‘Aisyah menyatakan (Surah al-Ahzab33: 56) pada masa Nabi s.a.w adalah lebih panjang, iaitu dibaca “ Wa ‘ala al-Ladhiina yusalluna al-Sufuuf al-Uwal” selepas “ Inna llaha wa malaikata-hu yusallaana ‘Ala al-Nabiy” ‘Aisyah berkata: Iaitu sebelum Uthman mengubah mashaf-mashaf”
[4] Ahl al-Sunnah berpendapat ganti nama “Dia” di dalan ayat tersebut kembali kepada Rasulullah s.a.w dan bukan kepada Uthman bin ‘Affan.
[5] Ali a.s berkata di dalam khutbahnya: "Khalifah-khalifah sebelumku telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi Rasulullah s.a.w  dengan sengaja. Mereka melanggar janji mereka dengan beliau dengan mengubah sunnah-sunnah beliau. Sekarang jika aku memaksa mereka supaya meninggalkannya dan mengembalikan keadaan sebagaimana di zaman Rasulullah s.a.w, nescaya tenteraku akan bertaburan lari dariku, meninggalkanku bersendirian atau hanya sedikit sahaja di kalangan Syi'ahku yang mengetahui kelebihanku, dan imamahku melalui Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w akan tinggal bersamaku. Apa pendapat kalian, sekiranya aku menempatkan Maqam Ibrahim pada tempat yang telah ditempatkan oleh Rasulullah s.a.w.
       Mengembalikan Fadak kepada pewaris-pewaris Fatimah (a.s), mengembalikan timbangan dan ukuran seperti yang lazim di zaman Rasulullah s.a.w, mengembalikan tanah kepada orang yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w, mengembalikan rumah Ja'far kepada pewaris-pewarisnya dan memisahkannya dari masjid (kerana mereka telah merampasnya dan memasukkannya ke dalam masjid); mengembalikan hukum-hukum yang kejam yang dipaksa oleh khalifah-khalifah yang terdahulu ke atas wanita-wanita yang secara tidak sah telah dipisahkan dari suami mereka, mengembalikan jizyah kepada Bani Taghlab, mengembalikan tanah Khaibar yang telah dibahagi-bahagikan, memansuhkan dewan-dewan pemberian dengan meneruskan pemberian kepada semua orang sebagaimana dilakukan pada masa Rasulullah s.a.w tanpa menjadikannya tertumpu di kalangan golongan kaya, memulihkan pajak bumi, menyamakan kaum Muslimin di dalam masalah nikah kahwin, melaksanakan khums sebagaimana difardukan Allah (swt).
       Memulihkan Masjid Nabi seperti bentuknya yang asal pada zaman Nabi s.a.w, menutup pintu-pintu yang dibuka (selepas kewafatan Rasul) dan membuka pintu-pintu yang ditutup (selepas kewafatan Rasul), mengharamkan penyapuan di atas al-Khuffain, mengenakan hukum had ke atas peminum nabidh, memerintahkan halal mut'ah wanita dan mut'ah haji sebagaimana pada zaman Nabi s.a.w, memerintahkan takbir lima kali dalam solat jenazah, mewajibkan kaum Muslimin membaca Bismillahir Rahmanir Rahim dengan suara yang nyaring pada masa solat, mengeluarkan orang yang dimasukkan selepas Rasulullah s.a.w di dalam masjidnya, di mana Rasulullah s.a.w  telah mengeluarkannya, memasukkan orang yang dikeluarkan selepas Rasulullah s.a.w (beliau sendiri) di mana Rasulullah s.a.w telah memasukkannya, memaksa kaum Muslimin dengan hukum al-Qur'an dan talak menuruti Sunnah, mengambil zakat menurut jenis-jenisnya, mengembalikan wuduk basuh dan solat kepada waktunya, syariatnya dan tempatnya, mengembalikan ahli Najran ke tempat-tempat mereka, mengembalikan layanan terhadap tawanan perang Farsi dan bangsa-bangsa lain kepada kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.    
       Sekiranya aku melaksanakan semua ini, nescaya mereka mengembara meninggalkanku. Demi Allah ketika aku perintahkan mereka supaya tidak melakukan solat jama'ah di masjid pada bulan Ramadhan kecuali solat-solat fardu dan memberitahu kepada mereka bahawa solat sunat berjama'ah (Taraawih) adalah bid'ah, sekelompok tenteraku yang pernah berperang di pihakku mulai berteriak: "Wahai kaum Muslimin! Ali ingin mengubah sunnah Umar dan bermaksud menghentikan kita dari melakukan solat-solat sunat Taraawih pada bulan Ramadhan sehingga aku khuatir mereka akan memberontak. Pada masa yang sama aku sedang menghadapi perpecahan di kalangan umat dan ketaatan mereka kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sesat yang hanya menyeru mereka ke neraka (a’immah dhalalah wa al-Du‘ati ila al-Nar).
       Aku telah dikurniakan saham kerabat di dalam firman-Nya Surah al-Anfal (7): 41 “ Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) di hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan.”. Maka kamilah yang dimaksudkan dengan dhi l-Qurba (kerabat) di mana Allah telah meletakkan  kami selepas diri-Nya dan Rasul-Nya s.a.w sebagaimana firman-Nya Surah al-Hasyar (59): 7 “Untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, golongan miskin dan ibnu ssabil (adalah untuk kami secara khusus) agar harta itu tidak hanya beredar di kalangan golongan kaya di kalangan kamu. Apa yang diberikan rasul kepada kamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya” bagi golongan yang telah menzalimi mereka sebagai rahmat daripada-Nya untuk kami dan kekayaan yang Allah kurniakan kepada kami dan Dia telah berwasiat kepada nabi kami mengenainya.
       Dia tidak menjadikan sedekah sebagai saham kami. Dia telah memuliakan kami Ahlu l-Bait dengan tidak  memakan sedekah orang ramai (ausakh al-Nas). Justeru itu mereka telah membohongi Allah, membohongi Rasul-Nya dan menentang kitab-Nya yang bertutur dengan hak kami. Mereka telah menghalang kami daripada fardu yang difardukan oleh Allah untuk kami. Inilah yang dihadapi oleh Ahlu l-Bait nabi selepas nabi kita s.a.w. Allah menentang mereka yang telah menzalimi kami dan tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Perkasa” Lihat Raudhat al-Kaafi, Beirut, 1985, viii,  hlm. 51-51 (hadis no.21).

[6] Al-Bukhari, Sahih, ii, hlm.111, Muslim, Sahih, hlm.iv, hlm.12, 14.
[7] Mereka berdua adalah anak Khadijah r.a, bukan anak salbi Rasulullah s.a.w.
[8] Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaaghah,ii, hlm.77.
[9] Al-Ya‘quubi, Tarikh, ii, hlm. 161, Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘aab, I, hlm.114.
[10] Al-Khawaarizmi, al-Manaaqib, hlm.72 al-Qunduzi al-Hanafi, Yanaabii‘ al-Mawaddah, hlm.130 dan lain-lain.
[11] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Umaal, hadis no.1213, v, hlm 132 dan lain-lain.
[12] Ibn Hajr, al-Sawaa’iq al-Muhriqah, hlm.124.
[13] Al-Tabari, Tarikh, ii, hlm.62, al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al ‘Umaal, vi, 392 dan lain-lain.
[14] Umur Ali a.s ketika itu adalah 33 tahun sementara umur Abu Bakar adalah 59 tahun lebih kurang.
[15] Jika umur menjadi ukuran, maka bapa Abu Bakr lebih layak daripadanya.
[16] Ali a.s telah membunuh mereka kerana Islam.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home